Ada dua sebagai pembahagi. Hukum kira-kira, separuh dicampur separuh menjadi satu. Namun separuh durian dicampur separuh tembikai tidak menjadi sebiji durian mahupun tembikai. Hukum kira-kira rigid begitu tak terpakai disini.
Itulah kehidupan. Inilah manusia. Ragamnya terlalu pelbagai sehingga kau kabur dengan apa reaksi yang harus kau berikan. Jika kau menuduh orang itu bias, bagaimana pula dengan kau sendiri?
Ada satu manusia pernah merungut yang dia diskriminasi kerana tidak bertudung. Dia skeptikal dengan gadis bertudung seperti saya kerana katanya nanti dia akan dihakimi. Saya diam, tidak mahu berbahas. Lalu sekelompok gadis bertudung labuh menghampiri saya, bercerita rancak memburukkan manusia yang tidak lengkap menutup aurat. Rancak sungguh bercerita sehingga terjuih-juih mulut mengata akan dosa-doa manusia lain sampai terlupa dosa mengumpat sendiri.
Lalu saya merumuskan, manusia semuanya sahaja. Dua dua pihak saling menghakimi dan tuduh menuduh. Semuanya termasuk saya tertipu dengan doktrin pemikiran sendiri.
Hari hari saya harus mengendali karenah manusia sehingga saya menjadi bingai sendiri. Akhir akhir ini genetik marah kembali menjentik. Setelah lama memujuk diri menjadi manusia sabar, akhir ini saya kehilanganya. Bagaikan membuak-buak rasa itu ingin keluar.
Oh Tuhan, tetapkanlah hati ini untuk terus diselubungi ketenangan dan kesabaran.