16.11.12

Ayam Goreng

Kita selalu melihat orang lain seakan mempunyai nasib atau kehidupan yang lebih baik daripada kita. Kita suka membanding-banding kekurangan yang ada dengan kelebihan yang mereka perolehi. Jarang sekali kita mahu melihat mereka yang dibawah, sebaliknya kita melihat mereka yang diatas. Kita acap kali terbawa-bawa dengan sahabat handai yang membeli beg berjenama dan cara hidup mewah sehingga memaksa diri untuk hidup dan bergaya seperti mereka sehingga menjadi papa kedana.


Kita melihat orang di Afrika, kurus kering dan daif tanpa makanan. Kita mendengar berita peperangan di Palestin dan anak mudanya yang syahid dibedil Israil. Insaf dan syukur, sekejap. Kemudian kita kembali ke realiti, hilang insaf, hilang syukur. Afrika mahupun Palestin terlalu jauh. Mereka sekadar di televisyen dan media masa. Kita tak merasai apa yang mereka rasa. Kita lupa apa yang penting dalam hidup ini.


Seorang makcik bekerja sebagai penyapu sampah di tempat saya. Beratur membeli makanan dengan hanya meletakkan nasi putih dan berkuah kari. Saya diam di belakang, sekadar memerhati. Ketika membayar di kaunter, kakak kaunter ramah menyapa:

"Tak ambil lauk macam biasa kak?" 
"Oh, tak. Anak-anak mintak makan ayam goreng petang karang. Kena berjimat."

Air mata hampir menitik. Hilang selera melihat nasi putih berlauk ayam dan kerang dalam bungkusan. Kata-kata makcik itu bergema di telinga. Bergema hingga hari ini. Makcik itu mengingatkan saya tinggi rendah langit ini. Apa yang saya mampu beli dan buat, tak semestinya mampu pada setiap orang.


Rasa syukur itu, tinggi nilainya. Jangan sekali dipersiakan.