25.8.13

Kaki Gergasi

Hari ini temankan si dia beli kasut untuk berfutsal. Dia seperti aku mempunyai sepasang kaki yang besar seperti gergasi dan menyukarkan proses membeli kasut yang cantik dan murah. Inilah namanya berjodoh, haha. Kaki sama-sama besar.

Cerita tentang kaki ini, aku selalu malu dulu-dulu apabila nak membeli kasut. Masa aku darjah 6 dulu pun kaki aku dah besar macam orang umur 20 tahun ke atas. Pernah lah jugak kakak kedai kasut terjengil anak mata bila aku cuba saiz normal budak baya aku tapi tak muat dan buku lali siap tertonjol keluar. Paling tak tahan masa pergi beraya rumah makcik, masa nak balik pakai kasut, makcik bising: eh, kasut sapa besa sangat nih? Besarnya kaki. Rasa masa tu macam nak round pintu belakang dan pakai je selipar jepun siapa-siapa. Malulah nak mengaku tuan badan kaki gergasi ni.

Jadi, aku membesar dengan keadaan low self esteem dengan kaki sendiri. Rela kau pakai kasut sampai lunyai sebab malu nak singgah kedai kasut. Mulut kakak kedai kasut pun boleh tahan pedas. Sangguplah tahan sakit kaki daripada tercalar lagi harga diri bila asyik kena tembakan bertubi-tubi.

Kadar yakin diri meningkat seiring dengan pertambahan usia. Kakak pun pernah cakap; Orang tinggi ni memang kaki besar. Bila belek kaki orang lain yang sama tinggi, betul jugaklah teori kakak. Lama-lama hilang dah rasa malu (tapi tak adalah sampai rasa bangga pun, rasa biasa-biasa saja.).

Kesimpulannya, berhati-hati dengan apa yang kita cakap dengan remaja perempuan. Paling-paling dengan budak perempuan macam aku, supaya tak adalah jatuh merudum tahap yakin diri. Muka dah buruk, takkan anggota badan lain pun buruk jugak, tu sumpah tak kelakar dah. Be respectful, be sensitive and be considerate towards others. The world will be much better place to live for everyone.

13.7.13

Percaya

Saya selalu percaya pembacaan yang baik akan menghasilkan penulisan yang baik. Saya percaya hanya dengan merasa susah, barulah manusia akan menghargai waktu senang. Saya percaya makanan yang baik akan membentuk jisim yang baik. Saya percaya ilmu/info yang berlambakan di ruang massa bukan menjadikan manusia semakin pandai tetapi semakin kurang ajar (kerana tidak belajar melalui guru lantas adab). Saya percaya genetik (keturunan) yang baik-baik akan menghasilkan baka yang baik. Saya percaya sibuk adalah alasan bagi seorang pemalas. Saya percaya gemuk bukanlah penyakit hakiki tapi halusinasi manusia duniawi. Ah...

Kita percaya dengan banyak perkara namun berapa banyak darinya yang kita betul-betul amalkan? atau percaya hanya sekadar di bibir dan akal namun tidak di hati. Adakah kepercayaan sekadar hujah penyelamat diri atau amalan menjadi bekalan sepanjang perjalanan?

21.6.13

Setahun

Awal bulan 6 baru-baru ini, genaplah setahun saya bekerja. Sungguhlah setahun berlalu begitu pantas. Saya hampir terlupa bagaimana rasanya menjadi orang baru dan cuba untuk bersosial dengan pekerja-pekerja lama bila kini mereka bagaikan kawan-kawan yang sudah bertahun-tahun saya kenali.

Setahun bekerja, saya mula belajar banyak perkara. Dan setahun bekerja saya baru membeli sepasang kasut baru dan belum lagi membeli mana-mana tas tangan. Sebagai perempuan, itu adalah perkara yang aneh untuk saya. Mungkin 'nature of work' saya tak memerlukan kasut baru bersilih ganti apatah lagi tas tangan. Backpack sudah sekadar cukup, barangkali. Namun, jauh di sudut hati saya sudah penat menjadi perempuan yang tergilakan materialis begitu. Saya cuba mengajar diri berasa cukup dengan apa yang ada.

Saya cuba dan masih belajar. Duit yang ada saya simpan, moga-moga bila ada tangan yang memerlukan, saya tiada alasan untuk tidak memberi. Wang walaupun bukan jaminan kebahagiaan namun tanpanya manusia mana pun boleh menjadi resah. Tanpa wang, manusia acap kali hilang pertimbangan. Wang bukan segalanya namun di dunia ini, segalanya pun perlukan wang.

Saya bersyukur kerana Tuhan mengurniakan satu kerja yang memberi gaji yang baik, kawan sepejabat yang baik dan bos yang boleh diajak bergurau senda (sampai ke facebook). Lalu, segala kebaikan yang diperolehi ini saya akan selalu ingat walaupun beban kerja menggunung sehingga mengeringkan setiap tenaga yang ada. Jika istilah membanting tulang boleh digunakan, saya bagaikan membanting tenaga sehingga pulang kepenatan setiap hari.

Saya hanya mampu bersyukur kerana Allah memberi rezeki melalui kerja ini. Biarlah bersusah-susah sekarang, semoga pulangannya ada di kemudian hari.