Seperti contoh kes Adam Adli, saya langsung tidak bersetuju dengan tindakannya namun saya juga tidak bersetuju dengan reaksi yang diberikan oleh Kerajaan yang menghantar FRU. Adam Adli bukanlah hero siswa, tindakan dia sedikit pun tidak menunjukkan aksi hero yang dibanggakan. Cuma reaksi kerajaan terhadap siswa ini menunjukkan kepincangan kerajaan dalam menangani suara kebangkitan siswa. Itu sahaja.
Kadang-kala resah melihat sesetengah orang bersetuju secara melulu dan tidak mampu berhujah secara berhikmah. Kalaupun kita menyokong pembangkang, tidak semestinya semua yang biadap datang dari pihak pembangkang harus disokong. Jika kita pro kerajaan, bukan semua yang indah-indah sahaja datang daripada kerajaan. Manipulasi berita oleh saluran media utama sangat menakutkan namun kita pun tidaklah sampai harus dimanipulasi berita-berita dari portal parti berlainan.
Bila berhujah, pastikan kita berhujah dengan fakta yang betul. Betulkan niat dengan niat berhujah untuk mendapatkan kebenaran bukan untuk menang. Kebenaran mungkin boleh datang melalui pihak kita atau pihak bertentangan. Kunci utama adalah untuk bertenang dan berlapang dada.
Saya sungguhnya resah melihat sesetengah orang mentafsir input yang diterima. Reaksi yang diberikan juga sangat membimbangkan. Semoga kita semua diberikan kelapangan minda untuk mentafsir setiap input yang diterima, sebaiknya.
No comments:
Post a Comment