27.7.12

kembang



serasa bagai semalam
bunganya kembang;
dibaja, disiram, ditatang
harumnya semerbak


serasa bagaikan semalam
bulannya mengambang;
diintai, ditatap, direnung
terangnya cahaya


dan bunga pun layu
cahaya pun malap
saat itu berlalu
dan waktu kan berputar lagi.


kembanglah bunga
teranglah bulan
aku menanti

kembang,
2339:150712

21.7.12

Ramadhan ini

Ujian terbesar bagi umat dunia bukanlah kemiskinan tapi sebaliknya, kesenangan. Bila Allah memberi kita rezeki yang lebih daripada orang, dugaan datang bagaimana mahu memanfaatkan rezeki itu. Berapa ramai sahaja yang mampu memberi tanpa berfikir panjang dan tidak risau dengan duit di bank yang semakin berkurang? Saya masih dalam proses menjadi manusia itu. Saya mahu menjadi manusia yang tidak berkira dengan duitnya namun dalam masa yang sama, pandai menyimpan dan membahagi duit.


Saya tertarik dengan status di Facebook yang di kongsi oleh teman sesekolah:


"Apa maksud rezeki yang berkat?" 
"Sedikitnya cukup, banyaknya boleh diagih-agihkan. Manakala rezeki yang tidak berkat, sedikitnya tidak cukup, banyaknya pula tidak puas. Umpama air laut, semakin diminum semakin haus." 
Maka berdoalah untuk rezeki yang berkat, dan bukannya harta kekayaan yang melimpah ruah.

Bilanya datang bulan mulia, Ramadhan Al Mubarak, semoga kita menjadi manusia yang lebih suka memberi. Semoga rezeki yang Allah berikan ini mampu memberi kesenangan kepada orang sekeliling. Semoga hati ini kurang kebergantungan kepada dunia. Semoga Ramadhan ini, membawa erti yang berbeza.

Salam Ramadhan! Selamat berpesta ibadah!

13.7.12

Perjuangan hidup

Bercakap itu senang. Semua orang nak bercakap. Semua mahu memberi pendapat untuk semua perkara. Teorinya mudah sebab bercakap itu percuma. Namun praktisnya tidak semudah itu. Praktis itu mencabar segala sudut kemampuan diri. Saya fikir saya mampu, secara teorinya. Bila dilanda praktis, saya hampir gagal. Lemah. Longlai. Hidup itu tak semudah apa yang manusia bicarakan di bibir atau di helaian kertas.


Sudah lama saya tidak merasai, apa yang saya rasai sekarang. Inilah antara ujian besar dalam kehidupan saya setakat ini. Disaat saya tak mampu bercerita kepada sesiapa kecuali Dia. Disaat saya harus menyembunyikan duka di sebalik senyuman plastik. Allah, peritnya rasa hati. Namun inilah perjuangan saya. Perjuangan setiap hari mencari bahagia.


Sungguhlah, hanya Allah sahaja yang mampu memahami resah dan gundah gulana. Saya bertawakkal dengan kehidupan saya kepadaNya. Saya percaya dengan setiap ketentuan hidup olehNya. Namun perjuangan ini akan saya teruskan sampai bila-bila. Perjuangan tidakkan terhenti hingga bertemu titik noktah. Semoga Allah kurniakan saya dengan kekuatan tidak berbelah bahagi.

7.7.12

Berani - Bukan tajuk filem

Berani. Apa definasi berani sebenarnya? adakah mereka yang terjun di kemuncak Niagra sahaja yang berani? Atau mereka berarak menentang kerajaan yang zalim itu berani?


Saya banyak kali terfikir dengan istilah ini. Saya takutkan tinggi dan saya meletakkan diri saya sebagai seorang penakut. Melihat kawan-kawan yang seronok menaiki roller coaster, sedang saya di tepi pagar sekadar melambai, hati cemburu dengan keberanian mereka. Hati menyumpah seranah ketakutan diri.


Kemudian saya membaca satu ayat, entah di buku inggeris yang mana; berani itu bila kita membuat sesuatu dengan melawan ketakutan kita. Jika kita tidak gayat, menaiki roller coaster bukanlah sesuatu yang berani buat kita. Semua orang mempunyai ketakutan yang berbeza. Ada yang takutkan gelap malam - berjalan seorang diri di gelap malam menuju ke tandas di luar rumah adalah satu keberanian buatnya. Ada yang takut untuk berdiri di pentas di depan khalayak ramai - sekadar berada di atas pentas walaupun sekadar watak picisan sudah menjadi keberanian buatnya.


Saya masih cuba melawan rasa takutkan tinggi atau takut jatuh daripada tempat tinggi. Nature of work saya sekarang memaksa untuk saya menjadi lebih berani dan setakat ini, saya belum lagi mencapai threshold ketakutan yang terulung. Namun mengenangkan roller coaster, bulu roma saya mampu tegak berdiri. Aduhai.


Jangan samakan ketakutan diri kita dengan yang lain. Jangan pandang rendah dengan kemampuan diri sendiri. Mereka mungkin berani terjun di puncak Niagra tapi kita juga berani berdiri di khalayak seribu di kala yang lain menyembunyikan muka. Be proud of yourself and never give up to overcome your own fear.