12.8.11

Pesta

Bulan ramadhan sudah hampir mencecah ke separuh bulan. Serasa baru sahaja 1 ramadhan menyapa dan kini ia semakin meninggalkan kita ke belakang. Sejujurnya, ramadhan kali ini terasa sangat berbeza. Terasa kali ini, ramadhan bagaikan terlalu bermakna. Mungkinkah ini ramadhan yang terakhir?


Saya serasa semakin memahami istilah ramadhan sekolah tarbiyah. Sebulan ramadhan bagaikan memasuki kem pelajaran. Segala penat lelah dan usaha bukan sekadar untuk mencekup pahala berganda di bulan ini tetapi sebagai waktu untuk kita siapkan diri untuk 11 bulan berikutnya.


Lebih bermakna jika kita meletak target contohnya untuk solat awal waktu dan mula praktisnya di dalam bulan ramadhan kerana seperti kita semua tahu, syaitan laknatullah sudah diikat. Kemudian, kem sebulan untuk solat di awal waktu mampu kita teruskan hingga sampai ke bulan-bulan seterusnya selepas bulan ramadhan.


Bak kata seorang ustazah, ini bukan bulan yang kita pulun mengaji sampai khatam tapi tinggalkannya di 11 bulan berikutnya. Apa sahaja amal baik yang kita mampu lakukan di bulan ramadhan seharusnya mampu untuk kita teruskan di bulan yang lain.


Masih ada separuh ramadhan, inshaAllah, masih sempat untuk kita semua. untuk saya terutamanya. Selamat berpesta ibadah!

No comments: