Awal bulan 6 baru-baru ini, genaplah setahun saya bekerja. Sungguhlah setahun berlalu begitu pantas. Saya hampir terlupa bagaimana rasanya menjadi orang baru dan cuba untuk bersosial dengan pekerja-pekerja lama bila kini mereka bagaikan kawan-kawan yang sudah bertahun-tahun saya kenali.
Setahun bekerja, saya mula belajar banyak perkara. Dan setahun bekerja saya baru membeli sepasang kasut baru dan belum lagi membeli mana-mana tas tangan. Sebagai perempuan, itu adalah perkara yang aneh untuk saya. Mungkin 'nature of work' saya tak memerlukan kasut baru bersilih ganti apatah lagi tas tangan. Backpack sudah sekadar cukup, barangkali. Namun, jauh di sudut hati saya sudah penat menjadi perempuan yang tergilakan materialis begitu. Saya cuba mengajar diri berasa cukup dengan apa yang ada.
Saya cuba dan masih belajar. Duit yang ada saya simpan, moga-moga bila ada tangan yang memerlukan, saya tiada alasan untuk tidak memberi. Wang walaupun bukan jaminan kebahagiaan namun tanpanya manusia mana pun boleh menjadi resah. Tanpa wang, manusia acap kali hilang pertimbangan. Wang bukan segalanya namun di dunia ini, segalanya pun perlukan wang.
Saya bersyukur kerana Tuhan mengurniakan satu kerja yang memberi gaji yang baik, kawan sepejabat yang baik dan bos yang boleh diajak bergurau senda (sampai ke facebook). Lalu, segala kebaikan yang diperolehi ini saya akan selalu ingat walaupun beban kerja menggunung sehingga mengeringkan setiap tenaga yang ada. Jika istilah membanting tulang boleh digunakan, saya bagaikan membanting tenaga sehingga pulang kepenatan setiap hari.
Saya hanya mampu bersyukur kerana Allah memberi rezeki melalui kerja ini. Biarlah bersusah-susah sekarang, semoga pulangannya ada di kemudian hari.
No comments:
Post a Comment