11.11.11

Sifat padi

Ketika saya mendapat temuduga untuk masuk ke universiti, terdapat lagi 20 orang teman sesekolah yang mendapat peluang yang sama. Daripada 20 orang ini, 10 orang mendapat tawaran belajar termasuk saya.


Kemudiannya, salah seorang pelajar (yang tidak mendapat tawaran) mengkritik kami bersepuluh dengan mengatakan hanya 2 orang sahaja yang sebenarnya layak mendapat tawaran itu. Lebihan 8 orang termasuk saya tidak layak kerana kami tak bagus berbahasa inggeris - katanya.


Saya marah dan terasa direndahkan. Ego saya setinggi langit barangkali sampai tak dapat berlapang dada ketika itu. Kebetulan, keputusan SPM belum lagi diumumkan. Kami mendapat tawaran berdasarkan keputusan peperiksaan percubaan.


Sebaik sahaja keputusan SPM diterima, saya mendapat A untuk bahasa inggeris Cambridge. Alhamdulillah. Cepat sahaja selepas itu saya menghubungi si pengkritik dan bertanyakan keputusan bahasa inggerisnya dan dia mendapat B untuk bahasa inggeris Cambridge-nya.


Dia langsung meminta maaf kerana sikapnya yang mendabik dada. Saya menerima maafnya selepas menghamburkan rasa marah sepuas hati. Haha. Alhamdulillah, kami masih bersahabat hingga kini. (malahan dia mendapat peluang belajar di luar negara)


"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah sesuatu puak mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, kerana harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan yang lain, kerana harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka..."

Hujurat: 11

Banyak perkara yang kita ada bukanlah kerana hebatnya kita tapi banyaknya kurniaan Allah kepada kita. Belajar untuk menjadi manusia bersyukur dengan kelebihan yang Allah berikan. Belajar untuk tunduk ke bumi, biar pun kejayaan membawa kita ke langit tinggi.


Oh, ini tazkirah untuk diri sendiri. Semoga mengambil iktibar dari sifat padi; semakin berisi, semakin menunduk.

No comments: