4.12.11

Aiskrim potong


Masa kecil dulu, bila tiba musim cuti sekolah, saya akan dihantar oleh abah untuk duduk di kampung bersama sepupu untuk menemani nenek. Kampung nenek di ceruk felda namun dilengkapi dengan Astro, komputer dan Video Game yang kebanyakannya di bawa oleh sepupu dari bandar metropolitan.


Salah satu aktiviti kegemaran saya di kampung bila nenek meminta saya untuk mencabut uban di kepala dan saya akan mendapat upah seringgit (duit syilling lama berwarna emas). Abah memang tidak memberi duit saku ketika di kampung, jadi duit seringgit dari nenek memang terasa berharga untuk membeli makanan-makanan segera.


Makanan kegemaran saya adalah ais krim potong berperisa kacang merah yang berbalut kertas putih dan berharga 20 sen. Ah, enaknya menikmati ais krim potong selepas penat berlari dan bermain di terik mentari.


Baru tadi, si dia membelikan sekotak ais krim potong kepada saya. Terasa terharu kerana diberi secara mengejut begitu. Dia barangkali tidak kaya harta untuk membelikan saya intan permata namun keperihatinannya pada setiap cerita cerita saya, sangat saya hargai.


Dia membeli hati saya dengan memberi perhatian kepada perkara kecil tapi bermakna dalam hidup saya. Ais krim potong terasa lebih berperisa.

2 comments:

victoire said...

Bestnye zaman kecik2 tuu..
Sebelom ade astro tu kite tengok muvi tajaan dunhill malam2 kat tv2..
pahtu dgr abg ngn kakna cite pasal hostel

Tg.A said...

hahaha. tu lagi epic. kenangan kecik2 yang sangat manis.