30.12.11

Review: Ombak Rindu


Baru sahaja lepas menonton filem Ombak Rindu. Akhirnya, setelah begitu lama menunggu, saya berjaya juga menonton cerita ini. Novelnya dulu saya baca ketika masih di bangku sekolah. Ya, ianya hanyalah satu novel picisan. Namun ketika membesar, hormon cintan cintun sangat kuat sehingga novel picisan inilah membuai-buai perasaan gadis-gadis di bangku sekolah.


Saya menonton cerita ini hanya demi memuaskan nafsu zaman sekolah tatkala saya membayangkan susuk wajah Izzah, Hariz mahupun Mila. Saya tidak sedikit pun berharap ada apa-apa hikmah dari cerita ini. Saya harus memuji pembuat filem ini kerana sebenarnya filem ini tak terlalu lari daripada cerita asal dari novel.


Cuma filem bergerak dengan lebih laju berbanding novel kerana filem perlu menarik momentum penonton untuk terus menonton selama lebih 2 jam sedangkan novel mempunyai isi monolog yang lebih perlahan untuk penghayatan.


Pengarah, Osman Ali pandai memetik babak-babak pendek tapi penting untuk dimuatkan di dalam filem ini. Tiada satu babak, memek muka, reaksi atau dialog yang tidak mempunyai signifikan di dalam filem ini. Itu satu pujian yang harus diberikan kepada pengarah kerana banyak sungguh filem-filem melayu yang memuatkan babak-babak yang tidak relevan di dalam filem semata-mata mahu menonjolkan elemen kelakar atau sekadar mahu memanjangkan cerita.


Saya berpuas hati dengan keseluruhan filem walaupun cuba untuk menepis habuk-habuk dari masuk ke dalam mata. Pujian diberikan juga kepada pelakon-pelakon kerana lakonan yang mantap terutama sekali Maya Karin. Eksperesi mukanya yang kosong kadang-kadang mengundang rasa emosi kepada penonton.


Apapun, selamat menonton semua!

No comments: