13.4.12

Muzik - Versus

Saya dibesarkan dengan pengaruh kuat oleh tiga orang abang dan sepupu-sepupu lelaki. Ini adalah hakikat, bukan sesuatu yang dibanggakan. Salah satu pengaruh terkuat mereka dalam hidup saya adalah dalam bidang muzik. Saya membesar dengan muzik yang didengar oleh abang-abang saya. Abang saya yang sulung memberitahu yang pemuzik sebenar adalah mereka yang tahu bermain alat muzik, bukan hanya sekadar mempertaruhkan vokal seperti Boyband yang banyak naik waktu saya remaja.


Itulah kata-kata azimat abang yang membuka mata saya untuk menilai satu-satu muzik dan saya masih memegangnnya sehingga kini. Ketika kecil, kami menyanyikan lagu XPDC sebagai lagu road trip ketika menghantar adik-beradik pulang ke asrama jauh di utara atau selatan tanah air. Saya tidak mengenali mana-mana Boyband (Westlife, BSB, etc) sehinggalah saya menginjak remaja dan dipengaruhi oleh teman sebaya. haha. Mungkin, inilah faktor sebenar kenapa saya tidak pernah meminati penyanyi-penyanyi korea.


Baru tadi saya menonton rancangan realiti baru di TV 9 yang bertajuk Versus. Menampilkan lima kumpulan muzik untuk bertarung selama lapan minggu dan kumpulan-kumpulan tersebut merupakan; 6ixthSense, Black Parallax, Go Gerilla!, Hujan dan Sofazr. Saya sejujurnya merupakan peminat Aizat Amdan kerana kreativitinya sebagai pemuzik. Saya juga peminat Hujan ketika awal-awal kemunculan Hujan kerana lirik lagunya yang sangat jujur. Lalu, rancangan ini mempunyai impresi awal yang baik terhadap saya.


Usai menontonnya baru beberapa minit tadi saya membuat kesimpulan yang saya sangat menyukai konsep rancangan ini. Lima kumpulan ini bertanding untuk menggubah balik lagu lama dengan gubahan baru yang lebih segar dan kontemporari. Ini adalah rancangan realiti (muzik) yang betul-betul mencabar kreativiti pesertanya. Ini adalah mengenai seni - mengikut perkiraan saya.


Lima persembahan setakat ini, Black Parallax telah memukau saya dengan persembahannya. Black dengan kekuatan vokalnya dan susunan muzik yang segar dan kekal menarik. Hujan mengecewakan saya dengan adunan Dubstep kerana saya sememangnya kurang menggemari elemen elektronik di dalam lagu. Selain Black, vokalis Sofarz turut mencuri tumpuan saya dan turut menerima pujian daripada ketua juri, Jennifer Thompson.


Saya bakal menjadi penonton tegar rancangan ini. Selamat tinggal Mentor dan Mania!

No comments: