Saya menemui cahaya ketika di tingkatan empat, saya memilih untuk membaca buku 1511H [Kombat] oleh Faisal Tehrani. Buku itu telah membuka mata saya seluas-luasnya. Beberapa minggu saya bagaikan dalam igauan, saya tak pernah terasa begitu terkesan dengan sebuah buku. I'm digging his books. Saya mula mencari semua karya FT di perpustakaan sekolah dan turut membelinya demi nama membaca. Saya terlalu gilakan hasil kerjanya. Saya mula meninggalkan novel-novel cinta secara beransur-ansur. Saya masih membacanya sehingga kini tetapi tak lebih sebagai chick-flick. Saya mula melihat bidang penulisan sebagai satu tanggungjawab, paling kurang tanggungjawab sosial kepada ummah manusia.
Saya membaca buku Noor Suraya yang masih berkisar topik cinta tetapi cinta yang beradab dan beradat. Saya mengenali Rnysa melalui bukunya di atas talian yang bertajuk 'Relevenkah aku di hatimu?' dengan singkatan RADHA. Melalui Rnysa yang ketika itu bukunya masih belum dicetak dan Noor Suraya belum lagi membuka syarikat penerbitan buku sendiri (Jemari Seni), saya menjumpai Hlovate. Saya membaca kesemua karyanya di atas talian. Saya sekali lagi menjadi gila, saya sanggup tidak belajar untuk peperiksaan hanya untuk menghabiskan semua bacaan saya. Ketika itu Hlovate belum betul-betul terkenal. Bila saya bercerita kepada kawan-kawan, mereka tidak mampu fahami kegilaan saya. Tapi kini Hlovate menjadi fenomena, bukunya tak pernah berhenti di ulang cetak.
Ramai orang berkata yang Faisal Tehrani merupakan seorang syiah. Saya membaca banyak bukunya namun tidak satu pun membuat saya mahu menjadi seorang syiah. Saya masih seorang pengikut ahli sunnah wal jamaah. Dia adalah penulis pertama yang membuka mata dengan bidang penulisan. Dia menyedarkan saya tanggungjawab setiap orang untuk menghasilkan sesuatu yang bermanfaat. Noor Suraya pula menyedarkan saya tanggungjawab seorang penulis untuk mendidik pembacanya walaupun tema cerita masih mengenai cinta. Saya mungkin satu hari nanti akan terbitkan buku sendiri dan saya percaya ia pasti bertemakan cinta.
Mungkin kerana itu, saya cepat marah dan berang bila satu-satu artis/selebriti menghasilkan karya tanpa arah tujuan. Saya rasakan semua perkara menjadi sia-sia jika dibuat tanpa tujuan yang kukuh. Apatah lagi mereka semua mempunyai circle of influence yang besar. Rugi seruginya jika platform yang ada, tidak digunakan sebaiknya.
No comments:
Post a Comment