Beberapa minggu yang lepas saya ditipu sebanyak 20 ringgit oleh manusia yang tak dikenali. Saya tidak berminat untuk bercerita dengan lebih lanjut mengenainya. Cuma seingat saya, saya terasa amat marah selepas ditipu. Mulut tak berhenti membebel dengan kebodohan diri sendiri. Kemudian saya berkata kepada teman baik;
"Tak apalah, niat halal je lah duit tu. Doa semoga duit tu digunakan untuk tujuan yang baik."
"Kalau niat nak sedekah, mulut jangan membebel dah. Nanti tak sampai pulak niat tu."
Saya terus diam, bersetuju. Kalau dah niat nak halalkan, kenapa nak mengeluh-ngeluh pula. Redha sajalah dengan apa yang terjadi dan semoga dia mendapat cahaya kebenaran suatu hari nanti. Saya juga terfikir, mungkin ini cara halus Tuhan menarik duit saya. Mungkin ada sisi yang tidak berkat dalam duit saya. Mungkin saya kurang memberi. Mungkin saya ada berselisih faham dengan sesiapa.
Apa yang paling saya takut ialah tidak mendapat keberkatan dengan duit gaji yang diperolehi. Ramai manusia yang saya kenali yang bergaji lima enam ribu tetapi selalu rasa tidak cukup dengan apa yang diperolehi sehingga terpaksa meminjam sana sini. Sedangkan ada yang lain, bergaji dua tiga ribu tetapi hidupnya senang. Saya takut jika bergaji banyak tetapi merasa kurang, ditarik oleh Allah dengan kesusahan-kesusahan yang lain. Saya lebih rela bergaji kecil tetapi sentiasa rasa cukup dan senang dengan apa yang diperolehi.
No comments:
Post a Comment